Warna Kehidupan: Tuah novel Azizi
SAIFUDDIN (tengah) bergambar bersama pemenang Pertandingan Peringkat Akhir Akademi Sastera 2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.
|
Bantu kemenangan utama kepada dua peserta Akademi Sastera 2009
DUA novel Azizi Abdullah yang mendapat perhatian peserta Akademi Sastera 2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, membawa tuah kepada mereka apabila masing-masing menggondol tempat pertama dan kedua pertandingan kritikan.
Juara Akademi Sastera 2009, Nur Fatiha Fadila Abu Bakar memilih novel Sangeetha dengan menggunakan Teori Psikoanalisis Lacan, manakala naib juara, Hasni Jamali pula memperkatakan Harga Sebuah Maruah dengan mengaplikasi Teori Hermeneutik.
Pembentangan lengkap dengan kertas kerja yang mantap melayakkan kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,500 berserta watikah penghargaan, hadiah buku dan hamper.
Hal ini ditegaskan Ketua Panel Hakim Akademi Sastera 2009, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan yang menyifatkan kedua-dua peserta menampilkan pembentangan yang baik apabila menguasai teori dan teks, sekali gus menunjukkan pembacaan pemenang yang luas.
"Peserta memperlihatkan keyakinan yang tinggi didorong oleh pemahaman terhadap teori dan teks berkenaan, sekali gus menyampaikan pembentangan dengan bersemangat," katanya yang dibantu panel hakim, Dr Mawar Shafei dan Dr Mohd Hanafi Ibrahim.
Nur Fatiha Fadila yang mewakili Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), berkata melalui Teori Psikologi Lacan, Sangeetha dilihat mempamerkan suka duka kehidupan warga tua dan kepincangan jiwa manusia lanjut usia yang ditimpa kesunyian.
"Teori Psikoanalisis Lacan dilihat sangat sesuai dalam meneliti konflik kejiwaan watak dalam novel ini kerana dengan mengaplikasi konsep imejan, simbol dan real Lacan, gelora kejiwaan watak dapat diketahui.
"Hal ini diketahui melalui penelitian terhadap bahasa yang digunakan watak dan perincian yang dilakukan oleh pengarang melalui teknik arus kesedaran," katanya ketika membentangkan Prahara Kejiwaan Dalam Sangeetha: Satu Kajian Kebahasaan.
Baginya Sangeetha bukanlah cerita cinta warga tua, tetapi cerita jiwa manusia yang menghadapi kesunyian sebagai teman hidup sehingga kesunyian serta kelohongan hidup membawa kepada pergolakan batin yang tidak diuruskan dengan baik.
"Gejolak narsisime, delusi kejar dan neurosis antara gejala kejiwaan yang terpancar melalui watak utamanya, Sangeetha dan kebijaksanaan pengarang menggabungkan tiga jalur plot berbeza, tetapi mengarah pada konflik jiwa serupa, menjadi mekanisme penulisan yang baik dalam memperlihatkan krisis psikologi watak.
"Meletakkan Derus sebagai medium perantara kenangan Sangeetha bersama Viralal ketika hidup dan selepas hayat Viralal, menarik ruang sunyi yang menghuni dunia pikun Sangeetha, manakala konsep kebahasaan dalam Psikoanalisis Lacan, pembaca dapat merasai emosi watak dalam kreatif Azizi lewat Sangeetha," katanya pada sesi yang dipengerusikan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan DBP, Mohamad Daud Mohamad.
Peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hasni Jamali, berkata Harga Sebuah Maruah ialah karya yang memaparkan perjuangan menuntut hak tanah sawah oleh petani yang bersungguh-sungguh mempertahankan pusaka milik mereka sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa dan jiwa.
"Melalui Teori Hermeneutik, pembaca dapat meneliti makna sebenar yang ingin disampaikan oleh pengarang menerusi konsep biografi pengarang, makna teks dan konteks.
"Dari sudut biografi pengarang, latar belakang Azizi merungkai persoalan dalam ruang novel itu kepada pembaca apabila mendedahkan beliau lahir dan membesar dalam lingkungan masyarakat bersawah padi, sekali gus menjadikan novelis itu berjaya melukiskan latar sawah dengan jelas dan menarik," katanya ketika merincikan Mencari Makna Harga Sebuah Maruah: Analisis Hermeneutik.
Melalui makna teks pula, Hasni melihat dua aspek untuk menyampaikan interpretasi yang tepat, iaitu persekitaran pengarang yang mempengaruhi karyanya untuk berkembang, manakala luahan perasaan dan pandangannya memberi panduan kepada pembaca, memperhalusi naskhah itu.
"Hermeneutik memberi ruang kepada pengarang menyuarakan apa yang bersarang dalam diri, manakala makna konteks yang disampaikan melalui aspek fenomena sosial menjadikan novel itu sebagai karya yang memberi makna berdasarkan setiap yang dizahirkan pengarang.
"Kehidupan sebagai anak sawah yang mendasari fenomena di sekeliling Azizi memperlihatkan ciri karya ini dihasil dan pengalamannya menjadi tulang belakang dalam memandu pembaca untuk menilai makna sebenar karya ini," katanya.
Tempat ketiga Akademi Sastera 2009 dimenangi Nur Hafizah Mohd Rusli dari Universiti Malaya (UM) yang membawa pulang hadiah wang RM2,000, manakala pemenang sagu hati, Mohd Azrein Abbas (Universiti Pendidikan Sultan Idris)); Roziah Adama (Aswara) dan Zulfazlan Jumrah (UPM).
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada majlis yang turut dihadiri Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Kesusasteraan Moden, Siti Aisah Murad.
Mentor Akademi Sastera 2009 yang dilantik pula ialah Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, Mohamad Saleeh Rahamad, Naffi Mat, Che Abdullah Che Ya, Abdul Halim Ali dan Azman Ismail, manakala pengkritik, Dr Norhayati Ab Rahman dan Mohamad Shahidan.